Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.
Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.
Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada soalan karangan berformat. Murid-murid dikehendaki menulis sebuah karangan yang panjangnya hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4 soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan
Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.
Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula
1. Pendahuluan
i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan, Contoh, Huraian, Fokus soalan)
Contoh pengolahan yang dibuat dalam karangan tersebut adalah;
Selain itu, usaha yang mujarab (PERMULAAN AYAT) yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menangani kebejatan akhlak yang berlaku dalam kalangan remaja adalah dengan meluangkan masa bersama-sama anak-anak. (ISI) Hal ini adalah untuk memberikan peluang kepada anak-anak bagi berkongsi masalah-masalah yang membelenggu diri mereka. Anak-anak akan berkongsi masalah dengan ibu bapa kerana mereka percaya bahawa ibu bapa ialah insan yang paling amanah untuk menyimpan rahsia dan yakin bahawa ibu bapa mereka merupakan orang yang dapat membantu mereka mencari jalan keluar daripada musibah tersebut. Oleh itu, ibu bapa perlulah meluangkan masa bersama-sama anak-anak pada setiap hari untuk mendengar rintihan anak-anak dan seterusnya membantu mereka untuk menyelesaikannya. Pada pandangan saya, sekiranya ibu bapa tidak meluangkan masa dengan anak-anak, sudah pasti anak-anak tidak berpeluang untuk berkongsi masalah sekali gus memaksa diri mereka untuk menghadapi musibah tersebut seorang diri. Hal ini akan menyebabkan anak-anak tertekan dan terdorong untuk melakukan gejala yang tidak sihat kerana mereka bertanggapan bahawa gejala sosial yang berteraskan hedonisme ini dapat membawa mereka jauh daripada masalah berat yang menghempap bahu mereka. (PENGOLAHAN) Oleh hal yang demikian, ibu bapa seharusnya meluangkan masa dengan anak-anak bagi membendung masalah sosial daripada berlaku dalam kalangan remaja.(PENUTUP ISI)