23 May
Teknik Pemerolehan Isi ( Peranan ibu bapa untuk menangani gejala sosial )

Penulisan merupakan penghasilan teks karangan, iaitu melibatkan proses dan hasil. Proses adalah menulis dan mengeluarkan idea, manakala hasil adalah buah fikiran yang telah dikeluarkan menjadi sebuah cerita yang lengkap.

Menulis karangan

Perlu ada perancangan penulisan perenggan:

  1. Pengenalan
  2. Isi
  3. Kesimpulan

  1. Perenggan Pengenalan

i.                     Perlu mengandungi kata kunci iaitu ayat umum dengan ayat khusus. Ayat umum menggambarkan secara keseluruhan isu yang hendak diperkatakan. Ayat khusus pula berfungsi memberikan gambaran terperinci terhadap perkara atau isu yang diperkatakan.

ii.                   Boleh bersifat takrifan terhadap tajuk karangan, bersifat peribahasa, atau pernyataan terhadap pendirian penulis.

 2. Perenggan Isi

i.                     Perlu ada ayat topik dalam setiap perenggan isi. Ayat topik juga dikenali sebagai isi utama karangan yang sesuai dengan pernyataan ayat khusus yang diperkenalkan dalam perenggan pengenalan.

ii.                   Ayat topik boleh dibina di awal, di tengah atau di akhir perenggan. Namun, pelajar dikehendaki memilih untuk meletakkan ayat topik di awal perenggan. Pada bahagian ini, pelajar dikehendaki membuat huraian terhadap ayat topik atau isi utama, memberikan bukti atau contoh serta kesimpulan terhadap ayat topik yang dibincangkan.

Ayat Topik (AT) + Ayat Huraian (AH) + Ayat Bukti/Contoh (AC) + Ayat Penyimpul (AP) = Sebuah perenggan lengkap.

 3. Kesimpulan

i.                     Perlu logik dan memuaskan hati guru (pembaca).

ii.                   Boleh menggunakan bentuk seperti berikut:

-         Kesimpulan terhadap isu yang diperkatakan, atau;

-         Mesej atau petua yang ingin disampaikan, atau;

-         Pengulangan tema.

Panjang karangan tidak kurang daripada 180 patah perkataan.

KARANGAN JENIS FAKTA / RENCANA 

  • Ditulis dalam bentuk format biasa
  • karangan ini memerlukan kita mempunyai pengetahuan yang luas.
  • jadi perlu banyak membaca buku, majalah, surat khabar dan sebagainya
  • fahamkan kehendak soalan. Contohnya karangan yang bertajuk burung.Tuliskan apa yang kamu tahu tentang burung. Karangan ini mungkin disalah tasirkan sebagai burung yang murid sukai atau burung peliharaan murid.
  • pastikan anda benar-benar tahu dan mempunyai fakta yang betul tentang tajuk.
  • senaraikan fakta-fakta / isi yang diketahui dan susun mengikut kepentingannya.
  • setelah mengemukakan pengenalan, tulis bahagian isi
  • pastikan anda dapat menyediakan 4 isi
  • kamu harus mampu mengembangkan sesuatu isi
  • setiap isi haruslah dihuraikan berserta contoh yang sesuai dengan menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami. Jika boleh sertakan kesannya.
  • masukkan perangkaan atau peristiwa untuk menguatkan kenyataan.
  • setelah siap mengembangkan isi kemukakan bahagian penutup.
  • gunakan bahasa yang tepat, usah leret-leret.

I = Isi (apa) - (1 ayat)

M = Mengapa - (3 - 4 ayat)

Ba = Bagaimana (contoh) - (2 - 3 ayat)

K = Kesan contoh yang menyokong isi - ( 2 - 3 ayat)

P = Penegas (1 ayat)

CONTOH TEKNIK IMBaKUP

TAJUK: Peranan ibu bapa untuk menangani gejala sosial

Isi: 

memberikan didikan agama

Mengapa: 

1. menjadi benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi

2. panduan hidup yang berkesan daripada terjerumus ke lembah kehinaan

3. dapat membezakan permata dengan batu kelikir

Bagaimana:   

1. mendidik sejak kecil lagi amal makruf nahi mungkar - melentur buluh biar dari rebungnya

2. memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat - solat itu tiang agama - mampu mencegah kemungkaran

Kesan: 1. takut balasan Tuhan - tidak terlibat dalam gejala sosial2. dapat melahirkan modal insan yang beriman dan berakhlak muliaUngkapan Menarik: 

Albert Eistein, “Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh.” 

Penegas: 

Didikan agama yang mantap merupakan elemen /wahana/wadah yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meruncing.

Contoh perenggan isi yang lengkap

Peranan ibu bapa yang signifikan untuk menangani gejala sosial pada hari ini ialah ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang teguh kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Dengan adanya didikan agama juga anak-anak dapat membezakan permata dengan batu kelikir kerana mereka telah menjadikan agama sebagai panduan hidup yang paling afdal daripada terjerumus ke lembah kehinaan seperti vandalisme, gengsterisme, merempit, ponteng sekolah dan sebagainya. Tanpa agama, kehidupan seseorang itu akan menjadi terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda. Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, mereka akan sentiasa melakukan amal makruf nahi mungkar. Bukan itu sahaja, ibu bapa bapa haruslah memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat kerana solat itu tiang agama yang mampu mencegah kemungkaran. Sebagai kesan, anak-anak yang memiliki didikan agama yang mantap akan berasa takut akan balasan Tuhan lalu tidak terlibat dalam gejala sosial yang akan merosakkan masa depan mereka. Secara implisitnya, usaha kerajaan untuk modal insan yang beriman dan berakhlak mulia dapat dilahirkan serta gejala sosial dapat ditangani. Benarlah kata Albert Eistein, “Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh.” Izharlah bahawa didikan agama yang mantap merupakan antara wahana yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meruncing.

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING